Rabu, 20 Mei 2009

Nazam

NAZAM (Puisi Warisan Arab)

Pengertian :

Puisi Melayu Tradisional warisan Arab-Parsi.
Temanya selalu berhubung dengan keagamaan, pendidikan dan keilmuan.

“Nazam dalam bahasa Arab bermakna puisi (poem) atau (poetry). Secara umum, samalah seperti syair dalam bahasa Arab bermakna puisi…. Dalam Bahasa Melayu istilah nazam memberi makna lagu atau zikir, dan ‘bernazam’ ialah melagukan suatu jenis puisi untuk satu tujuan, sambutan atau keramaian”
(Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisi, hal 283)


1. Ciri-ciri dari segi bentuk :

a. Bentuk terikat iaitu dari segi bilangan baris serangkap iaitu terdiri dua baris serangkap
b. Skema rimanya ialah a-a atau a-b, c-b, d-b dan seterusnya; dan kadang-kadang a-a, b-b, c-c dan seterusnya
c. Jumlah perkataan sebaris dan suku kata di dalam tidak tetap
d. Keseluruhan rangkap adalah idea yang hendak disampaikan.

2. Ciri-ciri dari segi isi : (menyentuh hal keagamaan)

a. Isinya mengandungi nasihat dan pengajaran agama yang membawa kepada kebaikan dan mengajak manusia ke arah mengingati ajaran-ajaran agama (Cth. Nazam Ajal)
b. Isinya juga menyentuh rukun iman dan huraian terperinci tentang syarat dan maknanya ( cth. Nazam Rukun Iman)
c. Isinya tidak sempurna dalam dua baris dan memerlukan rangkap-rangkap yang lain untuk menjadi kesatuan idea.
d. Boleh dibawa secara berlagu seperti nasyid dan qasidah

3. Fungsi Nazam :

a. Menyampaikan pengajaran agama seperti ilmu tauhid (Nazam Rukun Iman)
b. Menyampaikan nasihat dan pengajaran (Nazam Ajal)

Najam Ajal

Tema :
Peringatan tentang kematian iaitu nasihat dan pengajaran agama yang membawa kepada kebaikan dan mengajak manusia kearah mengingati ajaran-ajaran agama

Ciri-ciri : Dari segi bentuk
a. Tergolong dalam puisi berbentuk terikat
b. Mengandungi 7 rangkap. Bilangan baris serangkap adalah tetap iaitu 2 baris serangkap.
c. Keseluruhan rangkap adalah idea yang hendak disampaikan. Hubungan antara setiap rangkap amat erat dan saling berhubungan.
d. Rima akhir bagi nazam Ajal adalah tidak tetap iaitu
Rangkap 1 mati (a), hati (a) - a:a
Rangkap 2 - a:a
Rangkap 3 - a:a
Rangkap 4 - a:a
Rangkap 5 - a:a
Rangkap 6 - a:b
Rangkap 7 - a:a

Mentera

MANTERA

Mantera ialah kata-kata yang diucapkan untuk mendapatkan sesuatu dengan kuasa ghaib (melalui mimpi). Jampi ialah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendapatkan kesaktian (seperti menyembuhkan penyakit dan sebagainya).

Mantera juga diberi pengertian sebagai ungkapan kata-kata yang digunakan pawang dan bomoh Melayu dalam upacara-upacara yang mempunyai berbagai ragam maksud dari segi kepercayaan lama seperti digunakan dalam doa dan pendinding keselamatan daripada segala bencana iaitu digunakan dalam upacara-upacara ritual, pemujaan kepada penunggu dan semangat, juga dalam kerja-kerja bersangkut paut dengan pertanian dan menangkap ikan (supaya menjauhkan bala dan kerosakan segala bencana).

Ciri-ciri Mantera :

Dari segi bentuk :
i. Bentuk bebas atau tidak terikat
ii. Jumlah baris dalam satu rangkap adalah bebas / tidak tetap
iii. Jumlah rangkap bagi satu-satu mantera juga adalah bebas.
iv. Rima akhir baris adalah bebas iaitu tidak ada skema rima yang tertentu.

Dari segi isi :
i. Mengandungi pengucapan dan doa yang penuh dengan kata-kata pujian dengan tujuan membawa keuntungan dan menjauhkan bencana.
ii. Mengandungi unsur-unsur atau ungkapan magis yang digunakan dalam upacara-upacara tertentu serta bersifat kudus atau menyelami soal-soal kebatinan

Dari segi bahasa :
i. Mengandungi kata-kata yang dapat memberi kesan gambaran (imej) yang tertentu seperti gambaran alam semulajadi, benda-benda, tingkah laku atau perbuatan, perasaan atau sentuhan, bunyi atau pendengaran
ii. Kaya dengan bahasa perbandingan, kata-kata perulangan, kata-kata kiasan atau kiasan bahasa dan metafora.

Jenis mantera dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan, iaitu :
a. Perubatan
b. Pakaian diri
c. Pekerjaan
d. Adat isiadat

Fungsi mantera :
a. Menyembuhkan penyakit dan menghalau makhluk halus yang dipercayai sesuatu tempat atau yang menggangu kehidupan seseorang dan masyarakat.
b. Dijadikan sebagai pemanis, pengasih dan pembenci
c. Mantera digunakan dalam upacara-upacara seperti adat dan istiadat.

Endoi

ENDOI

Istilah Endoi

Daripada kata “endul” yang bermaksud buaian. Endoi merupakan tradisi lisan berbentuk perbuatan yang disambut oleh masyarakat Melayu dalam majlis keramaian seperti kenduri kahwin untuk memeriahkan suasana.

Ia merupakan istiadat menyatakan kesyukuran selepas ibu berjaya melepasi masa pntang dan anak di dalam keselamatan. Endoi diungkap secara berlagu dalam majlis sambutan berkenaan secara beramai-ramai.

Pengertian sebagai karya sastera :

Endoi sebagai bentuk puisi tumpang menggunakan bentuk syair, nazam dan juga pantun sebagai wadah penyampaiannya. Biasanya endoi berasaskan syair yang dilagukan dalam upacara berendoi.

Ciri-ciri Endoi :

a. Permulaan puisi dimulakan dengan ucapan Bismillahirahmanirahim
b. Setiap rangkap mengandungi empat baris serangkap
c. Menumpang bentuk puisi yang lain terutamanya syair
d. Rimanya menyamai rima syair a-a-a-a

Persoalan Endoi :
a. Menceitakan salasilah dan riwayat hidup rasulullah
b. Menceritakan kisah-kisah nabi
c. Menyampaikan nasihat kepada anak agar berbuat baik, berbudi dan menghormati ibu bapa
d. Memperkatakan tentang pengajaran Islam seperti rukun Islam dan kitab suci al-Quran.

Fungsi Endoi :
i. Berfungsi untuk menyatakan rasa keyukuran ibu bapa dalam upacara bercukur rambut anak yang berusia tujuh tahun
ii. Bertujuan untuk memberikan panduan dan pengajaran kepada masyarakat khalayaknya.

Dikir

Dikir / Zikir

Puisi Melayu warisan Arab-Parsi

Harun Mat Piah (1989)
Perkataan dikir berasal perkataan Arab, zikir yang bermakna puji-pujian terhadap Allah s.w.t. dan rasul-Nya

Dikir / Zikir ialah sejenis puisi Melayu yang bermakna puisi puji-pujian. Dikir/zikir juga merupakan puisi yang mengandungi isi tentang unsur-unsur agama, sama ada tentang ibadat, puji-pujian, pengajaran atau tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran-ajarannya.

Ciri-ciri

1. Dari segi bentuk : Puisi berbentuk bebas / tidak terikat. Dikir terdiri daripada ungkapan-ungkapan sejajar yang puitis, dan tidak terikat kepada bentuk yang tertentu.

a. Jumlah baris serangkap
Empat baris serangkap

b. Jumlah perkataan sebaris tidak sekata
Jumlah perkataan sebaris di antara empat hingga lapan patah perkataan.

c. Jumlah suku kata sebaris adalah tidak tetap

d. Rima akhir dikir juga adalah tidak tetap.

e. Dalam zikir kadangkala terdapat bentuk-bentuk puisi yang lain seperti pantun, syair, nazam dan mantera.

2. Setiap ungkapan atau kata-kata maksud atau isi puisi yang dipaparkan diselang-seli dengan kata-kata atau ungkapan puji-pujian terhadap Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. Pada permulaan puisi ungkapan puji-pujian (zikir) terhadap Allah s.w.t dan puji-pujian terhadap Nabi Muhammad s.a.w disusun sehingga membentuk satu rangkap yang tersendiri. Rangkap ini diulang-ulang diulang-ulang sehingga ada kalanya beberapa rangkap sebelum rangkap isi.
Cth.

Allah hee Allah huu ya Allah
Baddal hee ya maula,
Allah hee Allah huu ya Allah
Hudal le mat i habur sere ya Allah.

3. Mengandungi isi tentang unsur-unsur agama, sama ada tentang ibadat, puji-pujian, pengajaran atau tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran-ajarannya
Tema :
Puisi ini bertemakan keagamaan. Ia merujuk kepada puji-pujian terhadap Allah SWT dan juga Nabi Muhammad saw. Dalam puisi ini pengarang mengucap rasa kasih dan memuji Allah swt dan Nabi Muhammad saw sebagai pesuruh Allah.
Allah Muhammadun sayu ya Alla’
Hee Allah Allah wabiza aalihi

Mesej :

i. Melaksanakan perintah Allah
Menjadi tugas kepada manusia untuk melaksanakan perintah Allah. Jika tidak, kita akan berdosa.

ii. Mengingati dan beramal kepada Tuhan
Kita hendaklah sentiasa mengingati Tuhan dengan beramal kepada-Nya

iii. Mengingati dan menyayangi.
Kita mestilah sentiasa mengingati dan menyayangi Nabi Muhammad saw berselawat dengan kepadanya.
Aku minta pertolongan ya Muhammad,
Hari Kiamat diberi nikmat dan selamat.

Gaya Bahasa :

i. Gaya bahasa perulangan - anafora
Anafora ialah perulangan kata di awal baris dalam baris-baris yang sejajar.
Perulangan kata Allah di awal baris
Cth. Allah humma salli Allah,
Allah he salli dona,
Allah Muhamadun sahu ya Allah

ii. Gaya bahasa epifora
Epifora ialah perulangan kata di hujung baris
Perulangan kata Muhammad
Cth. Kasih sangat kepada Muhammad
Walau wafat tetap ingat Muhammad

iii. Diksi / pemilihan kata
Terdapat penggunaan bahasa Arab iaitu wahyu, wafat, nikmat, khurafat
Cth. Allah huma salli dona

Sastera Ketatanegaraan

SASTERA KETATANEGARAAN (SASTERA ADAB)

Definisi :

Karya yang menjadi petunjuk kapada olongan raja-raja dari segi mentadbirkan negara.

Kandungan kitab ketatanegaraan merupakan penerangan secara naratif (cerita) cara mentadbirkan sesuatu negeri dengan berdasarkan contoh raja-raja zaman dahulu kala khususnya raja-raja dari Timur Tengah.

Contoh karya :

1. Taj al Salatin – Bukhari al-Jauhari
2. Bustan al-Salatin – Nuruddin al-Raniri
3. Nasihat Segala Raja-raja – Syeikh Abdul Kadir

Ciri-ciri Isi Sastera Ketatanegaraan

1. Membicarakan tentang tanggungjawab raja-raja, menteri, hulubalang dan rakyat sekalian. Contoh Fasal yang pertama dalam Kitab Nasihat Segala Raja-raja.
2. Mengenai persoalan agama.
3. Menyentuh sejarah kerajaan-kerajaan Islam di Asia Barat dan Alam Melayu.
4. Berkisar pada undang-undang perlembagaan yang diambil daripada sumber Islam (tidak bercampur aduk daripada sumber lain).
5. Contoh-contoh yang diberikan adalah daripada raja-raja yang berasal dari Timur Tengah, termasuk contoh nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam terkenal dalam sejarah.
6. Menjadi panduan kepada raja-raja dan pembesar-pembesar untuk mentadbir negeri.
7. Kaya dengan unsur-unsur nasihat, petunjuk, panduan, dan pengajaran berharga kepada pemerintah.
8. Mengandngi filsafat pemikiran yang tinggi. Banyak dimasukkan petikanpetkan dari ayat al-quran dan hadis-hadis nabi.

Fungsi Sastera Ketatanegaraan :

1. Sebagai panduan kepada golongan raja dan pemerintah
- Dalam menjalankan pntadbiran dan pemerintahan negeri, misalnya dalam soal hubungan antara rakyat dengan pemerintah, tanggungjawab pembesar-pembesar negeri dalam mentadbirkan negeri.
- Panduan kepada seluruh masyarakat dalam hal-hal seperti cara mendidik anak, mengenai budi bahasa, pekerti yang baik dan tanggungjawab hubungan sesama manusia.
2. Sebagai alat pendidikan – unsur pengajaran dan pendidikan serta amalan hidup Islam yang
tinggi dapat dijadikan contoh.
- Contoh teladan daripada sifat tokoh-tokoh Islam, kisah nabi-nabi dari segi kelakuan, sifat, tindak-tanduk, dalam hubungan sesama insan demi keharmonian hidup bermasyarakat.

Sastera Hikayat

SASTERA HIKAYAT

Definisi :
Sastera hikayat ialah cerita-cerita dalam bentuk bertulis yang menggunakan bahasa Melayu lama dengan langgam bahasa dan stuktur yang tertentu, membawa cerita ajaib yang berunsur hiburan, hasil daripada imaginasi dan fantasi pengaeangnya.

Pembahagian/penggolongan :
3 golongan :
i. Sastera Hikyat Berunsurkan Hindu
ii. Sastera Haikayat Berunsurkan Hindu-Islam
iii. Sastera Hikayat Berunsurkan Islam

Sastera Hikayat Berunsur Hindu

Definisi :

Hikayat Melayu pengaruh Hindu yang terkenal ialah hikayat yang disadur secara langsung atau petikan-petikan terjemahan daripada bahagian-bahagian tertentu daripada dua buah kitab epik Hindu iaitu :
i. Mahabharata
ii. Ramayana

Daripada Epik Mahabharata : Hikayat-hikayat Melayu yang disadur atau terjemahan bahagian-bahagian tertentu dikenali sebagai sebagai Pendawa dalam kesusasteraan Melayu ialah;
Hikayat Pendawa Lima
Hikayat Pendawa Jaya
Hikayat Panca Kelima
Hikayat Pandawa
Hikayat Sang Boma

Daripada Epik Ramayana : Hikayat Melayu yang disadur dari epik Hindu ini ialah :
Hikayat Seri Rama
Hikayat Maharaja Rawana

Ciri-ciri Hikayat Berunsur Hindu :

1. Struktur isi terbahagi kepada 3 bahagian :
i. Bahagian Awal
- Cerita asal usul keturunan watak wira dan wirawati
- latar belakang keluarga
- latar tempat / negeri
- kisah wira/ wirawati sebelum keluar mengembara

ii. Pertengahan / Pengembaraan
- bahagian cerita yang terpanjang
- kisah sewaktu mengembara
- tumpuan kepada watak utama wira / wirawati
- rintangan dan halangan yang dihadapi seperti percintaan, peperangan dan ujian hidup
- berhadapan dengan watak-watak penghalang

(iii) Akhir / Penyelesaian Cerita :
- berhasil atasi halangan
- berjaya mengalahkan watak jahat
- mendapat kemenangan / terbukti kebenaran
- perrbuatan baik mendapat perbalasan yang baik dan perbuatan yang jahat mendapat balasan yang setimpal.

2. Watak dan perwatakan :
i. Watak baik / protagonis
- lambang kebaikan
- sifat keperwiraan, gagah berani, bersemangat waja dan dapat atasi halangan
- miliki alat-alat tertentu atau senjata
- mencapai kejayaan

ii. Watak Jahat / Antagonis
- lambang kejahatan
- sifat-sifat jahat dan buruk (moral negatif)
- penghalang kepada watak utama
- banyak menimbulkan masalah
- menerima balasan

3. Latar Cerita
Meliputi alam yang luas dan tidak terbatas seperti alam kayangan, di bumi dan di lauatan.

4. Kaya dengan unsur-unsur Hindu
i. Falsafah agama Hindu seperti keagungan kepada dewa-dewa Hindu sebagai makhluk yang menduduki tempat yang mulia dan tinggi. Misalnya Dewa Agni dalam Hikayat Seri Rama , penjaga api telah menyelamatkan Sita Dewi daripada hangus terbakar.
ii. Unsur sayembara untuk mendapatkan isteri. Contoh Seri Rama terpaksa mengadu kecekapan bermain panah sebelum berjaya mendapatkan Sita Dewi
iii. Unsur Sakti seperti senjata sakti, panah sakti, binatang-binatang sakti seperti gajah, kijang dan burung jentayu
iv. Unsur falsafah pengajaran Hindu seperti unsur Karma dan Darma, pembalasan kepada yang melakukan kejahatan, kejayaan akan dicapai setelah mengalami berbagai-bagai kesusahan dan kesengsaraan.



SASTERA HIKAYAT BERUNSUR HINDU ISLAM

Definisi :

Sejenis karya sastera berasal daripada sastera Hindu dengan wajah baru yang mengandungi unsur-unsur Islam.
Dihasilkan pada zaman bermulanya pengaruh Islam di alam Melayu. Pada zaman ini pengaruh Hindu masih tebal. Karya-karya sastera bercorak Hindu yang diubahsuai dengan sifat-sifat kiislaman sesuai dengan prinsip dan pemikiran Islam.

Contoh karya :
i. Hikayat Marakarma/Hikayat Si miskin
ii. Hikayat Serangga Bayu/Hikayat Ahmad Muhammad
iii. Hikayat Inderajaya/Hikayat Shahi Mardan

Ciri-ciri :

1. Corak isi becampur antara unsur Hindu dan Islam

Unsur Islam :
i. Judul karya/cerita memakai dua judul Hindu dan Islam
Hikayat Serangga Bayu dikenali sebagai Hikayat Ahamad dan Muhammad
ii. Perwatakan tokoh-tokoh Islam seperti Nabi Sulaiman, Nabi Khaidir, Islkandar, Lukman dan lain-lain
iii. Diselitkan persolan-persolan mengenai agama Islam seperti yang bersangkutan dengan rukun Islam, perlaksanaan ibadat dan sebagainya
iv. Nama watakdan temnpat bercorak Arab
v. Konsep-konsep keislaman seperti konsep Allah dan segala sifatnya, konsep syurga dan neraka
vi. Gaya bahasa menggunakan istilah Arab-Parsi dimulai kata Syadan, arakian , hatta dan sebagainya.

Unsur Hindu :
i. Nama-nama watak Hindu seperti Shahi Mardan, Sang Maha Pendeta, Dewi Permaisuri dan sebagainya
ii. Istilah-istilah Hindu seperti cokmar, dewan dan gangga dewa
iii. Cara perlukisan watak wira penuh kebaikan, manakala watak jahat dilukiskan ‘hitam’.
iv. Peranan para dewa
v. Upacara memuja dewa untuk mendapatkan kuasa ghaib dan sakti
vi. Peranan binatang atau benda sakti
vii. Percaya kepada ahli nujum

2. Dari segi struktur isi cerita

i. Bahagian Awal
- perkenalkan latar negeri dan watak
- permasalahan raja tidak mempunyai raja
- bernazar
- ramalan nujum

ii. Bahagian Pertengahan
- putera raja terpisah dari istana
- menghadapi rintangan dan dugaan
- mendapat bantuan dari kuasa sakti dewa atau alat-alat sakti

iii. Bahagian Penyelesaian
- putera berjaya mengatasi masalah
- kembali ke istana


SASTERA HIKAYAT BERUNSURKAN ISLAM
(Cerita Berbingkai)

1. Difinisi :
- Disebut sebagai “cerita dalam cerita” iaitu ceritanya terjadi daripada satu cerita pokok dan di dalamnya terdapat berbagai-bagai cerita yang lain, dikenali sebagai “cerita sisipan”, cerita berakhir dengan kembali kepada cerita pokok.
- Cerita itu bersambung-smabung serta berkait dengan cerita pokok
- Cerita pokok berkait dengan cerita sisipan melalui tukang-tukang cerita
- Tukang cerita berperanan sebagai “pehubung” antara cerita pokok dengan cerita sisipan
- Cerita sisipan disampaikan oleh “tukang cerita”/watak tertentu dari cerita pokok untuk mrnghasilkan hujah atau untuk membuktikan kebenaran

2. Ciri-ciri umum Cerita Berbingkai

i. Dari segi isi cerita : Isi cerita berasal dari India, sampai ke dalam kesusasteraan Melayu melalui Arab Parsi. Unsur-unsur pengaruh Islam lebih ketara / menonjol berbanding unsur pengaruh Hindu.
ii. Struktur isi terbahagi dua bahagian : pokok cerita dan cerita-cerita sisipan
iii. Watak dan perwatakan : watak manusia dari kalangan istana dan rakyat biasa. Watak binatang diberikan sifat-sifat manusia, boleh bercerita / berkata-kata. Watak utama sebagai “tukang cerita” dalam cerita pokok sebagai watak penyelamat melalui cara bercerita. Contoh dalam Hikayat Bayan Budiman, burung bayan berperanan sebagai pencerita bagi menyelamatkan isteri tuannya dari melakukan kejahatan dan kecurangan ketika suaminya tidak ada di rumah.
iv. Kaya dengan nilai-nilai moral yang tinggi seperti ketabahan, kesetiaan, kejujuran dan keadilan.
v. Mengandungi unsur pengajaran dan pendidikan yang tinggi. Contoh sifat dan kelakuan baik ditunjukkan melalui watak-watak dalam cerita sisipan boleh dijadikan sebagai contoh teladan.

Ciri-ciri Cerita Sisipan :
i. Disampaikan oleh seseorang watak dari cerita pokok : watak bercerita berbagai-bagai cerita dengan tujuan tertentu iaitu untuk membuktikan kebenaran atau menyelamatkan keadaan
ii. Isi cerita ringkas dan pendek : Cerita sisipan dapat mengawal kesatuan cerita dengan cerita pokok agar sentiasa rapi
iii. Cerita sisipan mampu wujud sendiri sebagai cerita berasingan : mempunyai kesatuan “plot”, tema dan watak tersendiri
iv. Ada kepelbagaian cerita : dapat memenuhi peranan sebagai alat mengemukakan amanat dan pengajaran.

3. Contoh Hikayat (cerita berbingkai)
i. Hikayat Bayan Budiman
ii. Hikayat Kalila Wa Daminah
iii. Hikayat Bakhtiar
iv. Hikayat Seribu Satu Malam

Sastera Agama

SASTERA AGAMA

Cerita-cerita Nabi Muhammad dan tokoh-tokoh Islam. Tergolong dalam hikayat-hikayat sumber Islam atau lagenda Islam.

Definisi :

- karya bercorak cereka (naratif)
- mengisahkan tokoh-tokoh Islam yang terdapat dalam sejarah perkembangan Islam
- watak terdiri daripada tokoh-tokoh Islam dalam sejarah
- perwatakan diadun dengan berbagai-bagai unsure fiksyen
- cerita tentang tokoh Islam bersifat karya sastera.

Ciri-ciri isi karya :

1. Cerita tentang tokoh Islam dan kisah-kisah Nabi Muhammad yang berlatarkan sejarah Islam serta diolah kembali dengan dimasukkan unsur mitos dan legenda, memperkenalkan tokoh-tokoh Islam untuk menggantikan tokoh-tokoh kesusasteraan Hindu di kalngan rakyat jelata.
2. Cerita tentang tokoh Islam berunsur legenda dan bercampukaduk dengan bahan fiksyen. Isinya memperkenalkan dan mengagung-agungkan tokoh-tokoh dan kebesaran Islam.
3. Ciri-ciri kekitaban – format penulisan naratif dan pengajian Islam
4. Diselitkan unsur khutbah dan fatwa pada bahagian awal dan akhir cerita
5. Memakai format ‘doksologi’ pada permulaan hikayat dan akhir cerita, dimasukkan :
Permulaan : didahulukan dengan bacaan – ‘Bismillah-ir-Rahman…..’
Akhir : ayat ringkas ‘Wal-lahu ‘alamu bis sawab’.
Penutup : doa panjang – puji-pujian kepada Allah dan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.

R.O Winstedt menggolongkannya ke dalam cerita-cerita yang bercorak legenda Islam.

Tokoh-tokoh :

a. Sebelum Islam
Hikayat Zulkarnain
Hikayat Amir Hamzah
b. Sezaman dengan Nabi Muhammad
Hikayat Muhammad Ali Hanafiah
c. Tokoh Tempatan – Cerita yang disadurkan dengan keadaan tempat
Hikayat Raja Khandak
d. Kisah Nabi Muhammad
Hikayat Nur Muhammad
Hikayat Bulan Berbelah
Hikayat Nabi Bercukur
Hikayat Nabi Wafat
Hikayat Nur Muhammad

Kisah bahawa Nur diciptakan oleh Tuhan mendahului ciptaan segala benda. Dari Nur, Tuhan mencipta nabi, malaikat, bulan, angina, air dan api. Nur kemudiannya mengislamkan api, angina, air dan tanah.