Rabu, 20 Mei 2009

Cerita Lipurlara

Cerita Penglipur Lara

Definisi
Sejenis cerita rakyat iaitu cerita roman, mengandungi unsur percintaan, peperangan dan pengembaraan. Kisah sekitar golongan istana iaitu putera-puteri raja. Menggambarkan keindahan, kemewahan dan kesaktian putera-puteri raja yang dipenuhi kejadian-kejadian luar biasa. Dituturkan oleh tukang-tukang cerita yang memiliki keistimewaan bercerita / bersifat professional.

Ciri-ciri :

1. Tema : Mengenai pengembaraan, peperangan dan percintaan.Pengembaraan merupakan inti pati cerita, yang mengisahkan wira-wirawati yang terdiri dari putera-puteri raja, keluar istana mengembara. Dalam pengembaraan biasanya penuh dengan dugaan hidup, tetapi kerana ketabahannya ianya dapat mencapai matlamatnya, mungkin mencari jodoh, menyelamatkan tunang atau ramalan nujum. Dikisahkan percintaan wira-wirawati, yang dipisahkan oleh watak-watak jahat, akhirnya dapat bertemu kemabali. Oleh itu pengembaraan sentiasa dipenuhi dengan peperangan anatara wira dan watak jahat. Kemenangan sentiasa di pihak wira. Contoh : Dalam Hikayat Malim Deman mengisahkan Malim Deman telah keluar mengembara mencari isteri Puteri Bongsu setelah bermimpi bertemu dengan seorang wali yang memintanya datang ke rumah nenek kebayan untuk memperolehi isterinya.
2. Pusat cerita : putera-puteri raja sebagai wira dan wirawati. Diceritakan tentang rupanya yang cantik, gagah berani, handal sakti dan sentiasa berjaya mengalahkan musuhnya.
3. Struktur isi cerita / plot : terbahagi kepada 3 bahagian

Awal :
• Kelahiran wira dan kejadian luar biasa
• Kehidupan wira masa kecil
• Menuntut ilmu, kesaktian dan kependekaran

Pengembaraan :
• Sebab-sebab mengembara, tujuan tertentu
• Halangan, kesusahan dan penderitaan
• Peperangan
• Percintaan dan perkahwinan
• Kesaktian luar biasa

Akhir :
• Berjaya mencapai hajat
• Kembali ke istana
• Bahagia dan memerintah kerajaan

4. Watak dan perwatakan :
Terbahagi kepada beberapa golongan :

(i) Watak utama (protagonis)
• Terdiri dari kalangan putera-puteri raja
• Peranan sebagai wira dan wirawati
• Menjadi tumpuan cerita
• Diwarnakan seputih-putihnya/baik
• Miliki banyak keistimewaan dengan tujuan tertentu akan menghadapi halangan, rintangan dan kesusahan. Wira dapat atasi dengan kepintaran dan kegagahan serta menndapat pertolongan kuasa ghaib.

(ii) Wakat pembantu:
• kalangan rakyat biasa
• pengasuh, pengiring, dayang kepada wira dan wirawati
• nenek kebayan

(iii) watak jahat (antagonis)
• dilukiskan hitam / jahat dan buruk
• sebagai watak penghalang kepada wira dalam mencapai sesuatu tujuan dengan segera
• sebagai musuh, niat jahat, sering menimbulkan sengketa, permusuhan dan peperangan

5. Cara penyampaian dan gaya bahasa
i. Penceritaan dalam bentuk prosa (naratif) diselang-selikan dengan bahasa puisi yang indah dan berirama (‘runs’)
ii. Kesan penggunaan bahasa puisi itu berupaya menimbulkan keindahan (estetika) kerana bahasa berirama indah dari segi pemilihan kata seperti kata-kata perbandingan atau kiasan , kata perbandingan dari segi ulangan bunyi, rima dan sebagainya
iii. Berkesan dapat menggambarkan suasana yang berbagai-bagai seperti sedih, gembira, terharu, bahagia dan lain-lain
iv. Keindahan dari sudut gaya penyampaian dan disampaikan mengikut irama

6. Cara Persembahan :
i. Dimulakan dengan upacara-upacara tertentu seperti membakar kemenyan dan membaca jampi serapah
ii. Cara berpakaian tukang-tukang cerita
iii. Diiringi alat-alat muzik tertentu seperti rebab dan gendang
iv. Penyampaian oleh tukang-tukang cerita yang professional

Fungsi Cerita-cerita Penglipur Lara

1. Sebagai alat hiburan
• Cerita disampaikan oleh tukang-tukang cerita
• Tukang cerita menyampaikan cerita secara professional, kebolehan tersendiri, unik dan berupaya menarik perhatian ramai
• Cerita-cerita dipenuhi peristiwa fantasi, luar biasa, penuh gambaran kemewahan, kebesaran dan keindahan hidup golongan putera-puteri raja
• Gaya tukang cerita menyampaikan cerita, diselang-selikan dengan ungkapan-ungkapan yang indah, disampaikan dengan iringan muzik dengan pelbagai lagu dan rentak sehingga dapat menimbulkan suasana nyaman, indah, gembira yang menyeronokkan

2. Sebagai suatu pelarian (“escapism”)
• Isi cerita menonjolkan gambaran keindahan, kehebatan, kecantikan yang dapat memberi ketenangan fikiran dan kelapangan jiwa kepada rakyat yang hidup dalam kemiskinan dan penderitaan
• Mendengar cerita yang indah dan hebat dapat melarikan diri seketika daripada kenyataan hidup yang dialami sebenarnya

3. Sebagai alat pendidikan
• Cerita peristiwa dan watak-watak yang digambarkan dengan unsur-unsur moral dan etika yang dapat dicontohi masyarakat.
• Nilai-nilai moral dan etika seperti taat kepada pemerintah atau ketua, sifat berdikari menentukan untung nasib melalui pengembaraan, semangat berani dan tidak gentar dalam menegakkan kebenaran jelas tergambar pada watak-watak yang boleh dijadikan panduan dan iktibar

4. Sebagai pengekalan norma dan sistem etika masyarakat
• Unsur moral dan etika yang terkandung dalam cerita-cerita penglipur lara dapat diwariskan kepada generasi terkemudian

5. Sebagai alat gambaran masyarakat
• Cerita-cerita menggambarkan corak kehidupan masyarakat Melayu. Misalnya dari segi sistem pemerintahan yang bersifat feudal itu
• Gambaran adap istiadat yang diamalkan di istana
• Sistem sosial yang diamalkan baik dari segi pendidikan, kepercayaan, amalan dan sebagainya.

Cerita-cerita Penglipur Lara :
o Hikayat Raja Donan
o Hikayat Anggun Cik Tunggal
o Hikayat Raja Muda
o Hikayat Malim Demam
o Hikayat Awang Sulung Merah Muda
o Hikayat Malim Dewa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan