Rabu, 20 Mei 2009

Cerita Binatang

CERITA BINATANG

Definisi :

a. Sejenis cerita rakyat dalam sastera lisan / sastera rakyat Melayu
b. Disebut juga cerita Mergastua
c. Watak binatang ini dapat bercakap, berfikir dan bertindak seperti manusia
d. Dalam cerita binatang, watak manusia hanya sebagai pemburu atau orang yang bodoh, diperdayakan oleh binatang.

Ciri :

i. Watak-watak dalam cerita binatang ialah binatang. Contoh di dalam cerita Hikayat Sang Kancil, wataknya ialah Sang Kancil dan binatang-binatang yang lain.
ii. Kisah yang ditimbulkan dalam cerita binatang tidak ada bezanya dengan kisah kehidupan manusia. Contoh dalam cerita Hikayat Sang Kancil, sang kancil memainkan peranan tertentu, seperti menjadi hakim bagi menyelesaikan masalah manusia yang berhutang.
iii. Binatang diberi jiwa dan tingkahlaku seperti manusia. Contohnya sang kancil berupaya menggunakan akalnya bagi menyelesaikan kaki kerbau yang digigit oleh buaya.
iv. Watak manusia tidak dipentingkan, hanya berperanan sebagai pemburu atau manusia yang dapat diperdayakan oleh binatang.

Jenis Cerita Binatang :

a. Jenis asal-usul ciri atau sifat binatang, mengapa terjadi sesuatu kepada binatang tertentu. Contoh : kenapa kerbau tiada bergigi di atas, mengapa puyuh tiada berekor, kenapa ular sawa hilang bisanya.
b. Bercorak dongeng / fable iaitu watak binatang diberikan watak seperti manusia, contoh seperti kerbau dengan buaya, seperti anjing dengan baying-bayang
c. Beast epik iaitu seekor binatang yang memegang watak utama sebagai hero. Contoh cerita Hikayat Pelanduk Jenaka, watak uatamanya ialah seekor pelanduk yang memainkan peranan-peranan tertentu.
d. Jenis “sambut menyambut” iaitu rangkaian cerita sebab akibat, menerangkan kenapa perkara itu terjadi dan melibatkan binatang yang banyak. Contoh cerita “Bangau oh bangau” yang dapat menjelaskan sebab dan akibat daripada pertanyaan, kenapa bangau itu kurus.

Fungsi Cerita Binatang :

i. Sebagai hiburan : cerita yang melucukan seperti binatang yang kecil dapat memperdayakan binatang yang lebih besar. Contoh harimau diperdayakan oleh sang kancil dengan menyuruhnya menukul sarang tebuan yang dikatakan gong Nabi Sulaiman
ii. Sebagai pengajaran (unsur didaktik) : Pengajaran kepada manusia supaya menggunakan akal dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya sang kancil dapat menyeberangi sungai dengan menyuruh buaya berbaris kerana diminta oleh Nabi Sulaiman untuk membilang jumlah buaya di dalam sungai.

Contoh-contoh Cerita Binatang :
a. Hikayat Pelanduk Jenaka
b. Hiakayat Sang Kancil

Huraian - HIKAYAT SANG KANCIL

Menggambarkan kecerdikan atau kepntaran Sang Kancil melalui dua peranan iaitu :
a. memperdayakan atau mengalahkan binatang yang lebih besar dan kuat
b. menjadi hakim dengan memberikan keputusan yang adil lagi bijaksana

Di samping itu, diperlihatkan juga bahawa Sang Kancil ada masanya tertipu atau dapat dikalahkan oleh binatang yang lebih kecil atau lemah.

i. Peranan Sang Kancil sebagai watak binatang yang cerdik digambarkan mengenai kejayaannya melepaskan atau menyelamatkan diri ketika menghadapi kesulitan seperti dalam cerita “Sang Kancil memperdayakan gajah”, “Sang Kancil memperdayakan harimau” dan “ Sang Kancil memperdayakan buaya”.
Contoh : Sang Kancil memperdaya harimau memukul sarang tebuan yang dikatakan gong Nabi Sulaiman.
ii. Peranan Sang Kancil menjadi hakim pula selalunya digambarkan dalam peristiwa menyelesaikan perselisihan faham atau pergaduhan antara dua pihak seperti “Sang kancil menghakimkan perselisihan peminjam dengan tuan punya beliung”, “Sang Kancil menghakimkan dakwaan seorang saudagar terhadap dua orang anak jirannya”, Sang Kancil menghakimkan seorang yang berhutang.
Contoh : Sang Kancil menyelesaikan perbalahan seorang peminjam yang tidak mahu mengembalikan beliung yang dipinjamkannya. Dikatakan sudah habis dimakan bubuk. Sang Kancil telah melumurkan badannya dengan abu dan menyatakan kepada Nabi Sulaiman bahawa sewaktu hendak mandi, sungai telah terbakar, jadi badannya penuh dengan abu. Nabi Sulaiman tidak mempercayainya. Sang Kancil bertanya pula bagaimana Nabi Sulaiman dapat mempercayai kata-kata si peminjam tersebut yang mengatakan beliungnya dimakan bubuk.
iii. Peranan Sang Kancil sebagai seekor binatang yang dapat diperdayakan oleh binatang yang lebih kecil atau binatang yang lain seperti dalam cerita Sang Kancil diklahkan oleh siput dalam satu perlumbaan dan Sang Kancil ditipu oleh bangau.
Contoh : Melalui cerita Sang Kancil ditipu oleh bangau, digambarkan Sang Kancil berlawan dengan bangau menyeberangi sungai di atas kerak nasi. Apabila kerak nasi itu hancur, Sang Kancil tenggelam tetapi bangau dapat terbang.

* Tiga peranan Sang Kancil di atas, di samping dapat memberi hiburan, juga mempunyai ciri didaktik iaitu memberi pengajaran kepada manusia supaya menggunakan akal fikiran dalam menghadapi hidup.

2 ulasan:

  1. Dah le ooii jo lemakan ngantuk ni

    BalasPadam
  2. Aku cuba lagi ni.Kalau nak taip nota tu taip le cepat. Jangan asyik nak........

    BalasPadam